SYAWAL 1422H
Hi dan assalamualaikum semua! :D Saya harap anda semua berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa menjaga diri walau di mana anda berada. Semoga kita semua dijauhkan dari virus Covid-19. Oh ya, rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di dunia 😇
Ramadhan sudah berlalu pergi meninggalkan kita dan berganti pula dengan Syawal. Ibadah puasa di bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai 'madrasah' atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Fasa selepas Ramadhan adalah pembuktian sama ada matlamat tarbiah atau pendidikan sepanjang bulan itu tercapai atau tidak.
Ini merupakan tahun ke-2 kita menyambut Syawal dalam suasana pandemik tetapi kali ini, perasaannya mungkin berlainan sedikit berbanding tahun lepas kerana kali ini kita lebih bersedia dan sudah menjangkakannya memandangkan kes harian Covid-19 yang tidak menunjukkan penurunan. Amalan 'new normal' atau norma baharu disebabkan wabak Covid-19 telah membataskan sambutan Syawal di seluruh dunia.
Namun, ini bukanlah alasan untuk menafikan perayaan 1 Syawal sebagai salah satu hari kebesaran umat Islam setelah sebulan berpuasa. Dalam bahasa Arab, perkataan Eid itu bermaksud perayaan, hari ulang tahun atau kembali. Justeru, umat Islam dianjurkan untuk bergembira dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.
Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW ialah puasa enam hari. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dalam bulan Syawal maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun." [HR Muslim : 1164]
Kefahaman dari hadis ini adalah Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Subhanallah! Maka, janganlah kita sia-siakan peluang ini kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Cuaca panas tetapi masih gigih untuk bergambar 😝 |
Salam Aidil Fitri from ours to yours. Alhamdulillah, tetap sempurna 💖 |
Semoga amalan kita di sepanjang bulan Ramadhan diterima Allah dan menjadikan kita hamba yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Comments
Post a Comment