ALLAH KAN ADA? : HIKMAH DI SEBALIK KEGAGALAN
"Pemenang sejati adalah orang yang mahu belajar daripada kesalahan. Mereka tidak pernah berhenti untuk terus belajar kerana kegagalan bukan pengakhiran segala-galanya, tetapi kegagalan adalah suatu pelajaran supaya kita mampu meraih kejayaan yang maksimum pada masa depan"
**********
"Ibu, ayah...aku gagal"
Untuk kesekian kalinya, ayat itu harus kita lontarkan kepada ibu bapa kita. Ayat yang ringkas dan singkat tetapi padat dengan makna. Ayat yang sederhana saja tetapi membawa maksud yang akan mematahkan hati. Jangan ditanya keadaan kita saat kegagalan datang menghampiri. Bukan hanya rasa takut untuk berjuang lagi, malah semangat dan keyakinan diri juga luluh.
Saya yakin setiap orang pernah merasai kegagalan. Saya pernah, jiran kita pernah, sahabat kita pernah, guru kita pernah. Semua orang pernah merasai kegagalan cuma setiap dari kita menghadapi bentuk kegagalan yang berbeza-beza.
Semangat yang pada awalnya sudah kita tanam dalam diri, semangat yang begitu bergelora tiba-tiba terkandas disebabkan satu perkataan, iaitu "GAGAL". Ya, begitulah keadaannya. Gagal ibarat racun yang membunuh. Mematikan semua harapan, cita-cita dan impian yang sudah terukir dalam bayangan.
Eh, tunggu dahulu para pembaca sekalian. Sebenarnya, jikalau kita berlapang dada, mengikhlaskan diri dan merenung makna dari kegagalan itu, kita pasti menemui sisi positif. Sisi positif dari sudut yang mana? Sedangkan sudah jelas kegagalan itu menghancurkan kita. Namun, sebagai muslim perlu diingat, setiap sesuatu yang Allah SWT timpakan ke atas diri kita pasti memiliki hikmah tersendiri. Tidak ada satu pun peristiwa yang terjadi di muka bumi ini tidak mempunyai kebaikan Allah SWT.
Apabila berbicara tentang kegagalan yang datang tanpa henti, kita sebenarnya mampu menjadikan kegagalan sebagai semangat bagi mengubah nasib. Jikalau kita mahu berfikiran lebih cerdas dan tidak malas berfikir, kita mampu menukar kegagalan menjadi berjuta-juta bentuk kejayaan.
Bagaimana caranya? Caranya adalah dengan meneliti kegagalan tersebut dan mencari punca kegagalan tersebut. Selain itu, kita juga perlu mengenal pasti apakah usaha dan proses yang sudah dilakukan ataupun adakah mungkin kerana doa kita yang belum sempurna sehingga kita sukar mencapai kejayaan?
Oleh itu, selepas mengenal pasti kesilapan, kita sudah pasti dapat memperbaikinya. Kita juga perlu belajar daripada orang lain yang lebih berpengalaman. Ingatlah rakan-rakan sekalian, hidup ini adalah perjalanan untuk terus belajar. Kegagalan adalah untuk dipelajari, bukan diratapi.
Wallahua'lam. Love, SSF.
Comments
Post a Comment